Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempersoalkan tindakan Umno Pahang yang mengunakan fasiliti milik rakyat iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM Jengka, Pahang) untuk program Konvensyen yang bakal dirasmikan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak. Seramai 2000 orang ahli Umno Pahang dijangka akan berkampung di UiTM Jengka hujung minggu ini.
Konvensyen Umno Pahang diadakan dari 19-21 Februari ini merupakan program politik yang jelas bertentangan dengan Akta UiTM 174 yang tidak membenarkan program politik diadakan didalam Universiti berkenaan. Walaupun ada peruntukan 'dengan kebenaran Menteri' tetapi kebenaran yang diberikan itu boleh dipertikaikan kerana selama ini UiTM begitu keras menolak Mahasiswa dan kakitangannya melibatkan diri dalam politik apalagi membenarkan program politik didalam kampusnya. Kalau dengan alasan sudah mendapat restu Menteri, jawapan itu juga boleh dipersoalkan kerana Menteri Pengajian Tinggi juga adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno.
PAS mahu bertanya kepada Naib Canselor UiTM, berapakah Umno bayar untuk mengunakan fasiliti rakyat itu. Sebelum ini sudah ada rekod bahawa Umno merupakan parti yang culas dan suka mengambil kesempatan dalam mengunakan fasiliti rakyat. Malah pada tahun lepas, Umno pernah diheret ke Mahkamah oleh Syarikat Elegant Advisory Sdn Bhd kerana gagal membayar hutang sebanyak RM 218 juta semasa pilihanraya 2008. Apakah Umno mengunakan fasiliti UiTM secara berbayar atau percuma. Jika berbayar, berapakah nilai sewaan dewan-dewan dan asrama yang mereka gunakan .
Sampai bilakah UiTM mahu membiarkan dirinya terus menerus menjadi hamba kepada Umno. Rakyat sudah jelak melihat Umno memperkudakan UiTM, dimana UiTM tanpa segan silu mengarahkan Mahasiswanya menjadi petugas semasa Persidangan Umno setiap tahun di PWTC.
PAS kesal kerana dalam keadaan ekonomi dan dana Kerajaan yang gawat ini, Umno masih mahu menambahkan beban perbelanjaan. PAS mahu Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat status pengunaan UiTM Pahang sebagai lokasi program Konvensyen Umno ini.
Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
No comments:
Post a Comment