Wednesday, May 6, 2009

MAT SABU DI TAHAN




Naib Presiden PAS Mohamad Sabu ditahan polis selepas jam 3 petang ini di Jalan Pahang Barat, berdekatan pejabat Harakah, dipercayai berhubung majlis solat hajat di Manjoi, Ipoh esok.

Pemimpin kanan itu ditahan sekumpulan kira-kira 10 anggota polis berpakaian biasa sewaktu meninggalkan sebuah restoran menuju ke pejabat organ parti itu, kata ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

Mohamad sebelum itu minum bersama Salahuddin dan seorang lagi ahli PAS di sebuah restoran belakang Hospital Tawakkal di Jalan Pahang, Kuala Lumpur - kira-kira 300 meter dari pejabat Harakah.

Salahuddin memberitahu Malaysiakini, beliau terdengar jeritan Mohamad "aku kena tangkap" sebelum bergegas menuju ke arahnya yang dikelilingi kumpulan anggota polis tersebut.

Beliau dan ahli PAS itu, yang dikenali Ali Maidin, bergelut seketika dengan anggota-anggota polis untuk menyelamatkan Mohamad tetapi diheret ke tepi oleh pihak berkuasa itu.

Salahuddin menambah, tiada waran dinyatakan dan tiada pegawai polis memperkenalkan diri sewaktu penahanan tersebut.

Beliau kini sedang mendapatkan bantuan peguam PAS Hanipa Maidin untuk tindakan lanjut.

Mohamad ditahan selepas jurucakap Bersih, Wong Chin Huat, ditahan reman mulai hari ini atas siasatan Akta Hasutan - dipercayai berkaitan kempen berpakaian hitam anjuran NGO itu sempen sidang DUN Perak, esok.

Wong ditangkap di rumahnya di Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur beberapa jam selepas memberikan kenyataan di satu sidang media Bersih, pagi semalam.

Dihubungi hari ini, Salahuddin tidak menolak kemungkinan Mohamad ditahan polis berhubung program solat hajat dekat Ipoh, jam 5 pagi esok berkaitan persidangan DUN tersebut.

Isnin lalu, Mohamad mengumumkan program PAS itu dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur

No comments: